Tuesday, March 24, 2009

TASAWWUF IMAM AL-SHAFI`E

TASAWWUF IMAM AL-SHAFI`E

oleh
Sheikh Gibril Fouâd Haddâd

Bismillah al-Rahman al-Raheem
was-salaat was-salaam `alaa Rasul-illa
wa 'alaa alihi wa sahbihi wa sallam

Adakah Imam al-Shafi‘e Menentang Tasawwuf?

Imam al-Shafi`e berkata:

"faqihan wa sufiyyan fa kun laysa wahidan
fa inni wa haqqillahi iyyaka ansahu "

“Jadilah kamu seorang faqih dan juga sufi kedua-duanya sekali: dan jangan menjadi salah satu darinya. Sesungguhnya demi kebenaran Ilahi, Aku menasihati kamu dengan seikhlasnya”.

[Al-Shafi`e, Diwan (Beirut dan Damsyik: Dar al-Fikr) hal. 47]


Kecaman terhadap tasawwuf yang dikatakan dibuat oleh Imam al-Shafi‘e yang kerapkali didengari pada hari ini mestilah diambil dalam konteks penentangan Imam terhadap sesetengah orang yang menggelar diri mereka ‘orang Islam’ atau ‘ahli Sufi’, tetapi pada hakikatnya tidak lain melainkan orang munafiq, ‘free-thinker’ dan mereka yang rosal akhlak dan moralnya.

Ini sewajarnya disedari oleh setiap orang yang didatangi golongan “Salafi” yang memetik-metik dari kitab Talbis Iblis karangan Ibn al-Jawzi, yang kemudiannya menyandarkan kepada Imam Shafi‘e seolah-olah penentangan beliau [Imam Shafi‘e] terhadap tasawwuf secara keseluruhannya. Bagaimana mungkin mereka boleh percaya Imam Shafi‘e menentang tasawwuf sedangkan dalam masa yang sama menasihati para fuqaha’ agar menjadi ahli Sufi, seperti mana dinakalkan di atas (Diwan al-Shafi‘e). Adakah mereka tidak mempunyai pandangan lain yang lebih baik terhadap Imam al-Shafi‘e selain dari seorang yang memberi dua nasihat yang berbeza?

Muhaddith al-`Ajluni turut menyebut dalam kitabnya Kashf al-khafa wa muzil al-albas (1:341 #1089) bahawa Imam Shafi`e pernah berkata:

“Tiga perkara di dunia ini yang aku cintai: mengelak berpura-pura, melayani manusia dengan baik, dan mengikuti jalan tasawwuf”.

Ibn al-Qayyim dalam Madarij al-salikinnya (3:128) dan Imam al-Suyuti pula dalam Ta'yid al-haqiqah al-`aliyyahnya (hal. 15) turut menyebut bahawa Imam al-Shafi`e pernah berkata:

“Aku bersama-sama dengan para Sufi dan memperolehi dari mereka tiga perkara: kenyataan mereka bahawa masa itu pedang, jika kamu tidak memotongnya, ia pasti memotongmu: kenyataan mereka jika kamu tidak menyibukkan nafsumu dengan kebenaran, pasti dia akan menyibukkanmu dengan kepalsuan; dan kenyataan mereka bahawa pengekangan itu adalah suatu kekebalan”.

Seorang Sheikh Mazhab Maliki, Sheikh Ahmad al-`Alawi menyebut, yang dipetik dari terjemahan bukunya berjudul ‘Knowledge of God’ (hal. xxi):


“Renungkanlah keikhlasan Imam Besar ini [Imam Shafi`e] dan bagaimana beliau menjadi saksi untuk para Sufi, dan mengesahkan tentang kesungguhan dan perjuangan mereka”. Shaykh Sha`rani, moga-moga Allah merahmatinya berkata: “Renungkanlah bagaimana Imam al-Shafi‘e mengambil ini dari para Sufi dan bukan dari mereka selainnya. Ianya dengan ini kamu mengetahui kemuliaan mereka [para Sufi] mengatasi yang lain, mengatasi mereka yang beliau [Imam Shafi‘e] sendiri suatu ketika dahulu menuntut darinya”.


Salah seorang tokoh berwibawa bagi golongan “Salafi” ini ialah Ibn Qayyim al-Jawziyyah, namun
apabila Ibn Qayyim menyebut sesuatu yang bercanggah dengan dakwaan puak “Salafi” ini, mereka menjadi hilang punca apabila ulama rujukan mereka sendiri tiba-tiba menentang mereka. Ibn Qayyim menyebut di dalam kitabnya Madarij al-salikin (2:307):

“Agama ini terkandung di dalamnya sekalian akhlak yang baik (al-dinu kulluhu khuluq). Sesiapa yang mengatasimu dalam berakhlak baik, maka sesungguhnya dia mengatasimu dalam beragama, dan perkara yang sama juga benar untuk tasawwuf. Al-Kattani berkata: "Tasawwuf itu berakhlak baik (al-tasawwuf khuluq), sesiapa yang mengatasimu dalam berakhlak baik sesungguhnya ia mengatasimu dalam tasawwuf".

Kita juga sepatutnya bertanya adakah orang yang kononnya bergelar "Salafi" itu menyedari pendirian Ibn `Abd al-Wahhab berhubung dengan tasawwuf?. Ianya bukti yang hampir nyata sekali bahawa mereka sama sekali tidak menyedari bahawa Ibn ‘Abd al-Wahhab juga sebenarnya menerima tasawwuf yang disandarkan kepada Rasulullah sendiri. Ibn `Abd al- Wahhab menyebut di dalam kitabnya, jilid ketiga dari Fatawa wa rasa’il yang diterbitkan oleh Universiti Ibn Sa‘ud, pada halaman 31, Soalan kelima

“Ketahuilah!—moga-moga Allah merahmatimu—bahawa Allah Maha Agung telah mengutuskan Muhammad, selawat dan kesejahteraan buat baginda, dengan petunjuk yang benar, mengandungi ilmu yang bermanfaat, dan dengan agama yang benar, mengandungi amalan yang lurus. Pengikut agama ini adalah seperti berikut:
mereka yang menyibukkan diri mereka mempelajari dan mendalami ilmu fekah, dan perbahasan mengenainya seperti para fuqaha’; dan ada di kalangan mereka yang menyibukkan diri mereka dengan beribadat dan mengejar Akhirat, seperti para Sufi. Allah telah mengutuskan RasulNya dengan agama ini yang mengandungi kedua-duanya, iaitu fekah dan tasawwuf”

Berhubung dengan tentangan oleh golongan pembohong ini terhadap para Sufi yang mereka petik dari kitab Talbis Iblis karangan Ibn al-Jawzi yang kononnya Ibn al-Jawzi menyandarkan kepada kata-kata Imam al-Shafi`e yang mengkritik para Sufi, atau kata-kata Imam Ahmad yang mengkritik Imam al-Harith al-Muhasibi: kita katakan kepada mereka sepertimana al-Dhahabi berkata: “Kita menggelarkan Ibn al-Jawzi seorang ‘hafiz’ (penghafal hadith) sebagai penghormatan kepada penulisannya yang banyak, dan bukan terhadap keilmuannya”. Maksudnya: Beliau tidak boleh diterima apabila membuat laporan periwayatan.

Berikut adalah ungkapan muhaddith Syria yang terkenal, Almarhum Sheikh `Abdul Fattah Abu Ghuddah:

“Pergantungan kita kepada Allah! Ibn al-Jawzi telah mengarang sejumlah besar kitab-kitab berhubung hadith palsu supaya para fuqaha’, pendakwah, dan yang lain dapat mengelak darinya. Namun tiba-tiba kamu melihat beliau memetik pelbagai hadith-hadith palsu dan cerita-cerita tanpa hujung pangkal yang sudahpun ditolak, tanpa merasa malu dan berfikir dua kali. Akhirnya seseorang mula merasakan bahawa "Ibn al-Jawzi" itu sebenarnya dua orang dan bukannya satu! ... Dengan kerana itu, Ibn al-Athir mengkritik beliau dalam buku sejarahnya berjudul al-Kamil (10:228), dengan katanya: “Ibn al- Jawzi menyalahkan beliau [Imam al-Ghazali] kerana banyak perkara, antaranya termasuklah kerana Imam Ghazali memetik hadith-hadith yang tidak sahih dalam kitabnya. Sungguh pelik sekali, Ibn al-Jawzi sepatutnya mengkritik dirinya sendiri terlebih dahulu! kerana kitab-kitabnya dan karyanya yang bersemangat itu penuh dengan itu semua. (mahshuw bihi wa mamlu' minh)!” Dan pakar hadith
al-Sakhawi menyebut di dalam Sharh al-alfiyya (hal. 107): “Ibn al-Jawzi memetik sejumlah hadith-hadith palsu dan seumpamanya dengan melimpah-ruah dalam buku-buku kecamannya”!


Selain dari itu, kita turut memetik di sini ungkapan nasihat Imam Tajuddin al-Subki kepada para penuntut ilmu dalam Pengajian Islam, katanya:

“Berhati-hati apabila mendengar apa yang berlaku antara... Ahmad bin Hanbal dan al-Harith al-Muhasibi. Jika kamu menyibukkan dirimu dengan ini, aku bimbang maut menghampiri mu. Mereka adalah pemimpin ternama agama dan ungkapan mereka mempunyai banyak makna, yang mana sebahagiannya mungkin telah tersilap tafsir. Adapun kita, kita tiada urusan lain melainkan membenarkan mereka dan berdiam diri terhadap apa yang berlaku sesama mereka, seperti mana yang berlaku di kalangan para Sahabat, moga-moga ALlah merahmati mereka semua... Wahai kamu yang mencari petunjuk!... tinggalkan apa yang berlaku antara mereka, sibukkan dirimu apa yang melibatkanmu, dan tinggalkan apa yang tiada kena mengena dengan mu!”

[Subki, Qa`idah fi al-jarh wa al-ta`dil, hal. 53.]

Adapun pelbagai serangan al-Dhahabi samada terhadap para Sufi terawal mahupun terkemudian di dalam Mizan al-i`tidalnya (1:430 #1606), di mana beliau memetik laporan-laporan mengkritik al-Muhasibi seperti:

“Di mana mereka seperti al-Harith al-Muhasibi! Bagaimana andainya Abu Zur`a melihat kitab-kitab [Sufi] terkemudian seperti Qut al-qulub oleh Abu Talib [al-Makki], dan di mana kitab-kitab seumpama Qut itu? Bagaimana andainya beliau melihat Bahjat al-asrar oleh Abu Jahdam, dan Haqa'iq al-tafsir oleh al-Sulami, sudah pasti beliau akan melompat hingga ke siling! Bagaimana jika beliau melihat kitab-kitab oleh Abu Hamid al-Tusi [Imam Ghazali]....? dan Shaykh `Abd al-Qadir [Gilani]... Fusus al-hikam dan al- Futuhat al-makiyya [Ibn `Arabi]?”

Kita mengambil pendekatan Imam al-Suyuti terhadap kenyataan seumpama itu yang menolaknya seperti mana dalam kitabnya Qam` al- mu`arid bi nusrat Ibn al-Farid (seperti dipetik oleh Imam al-Lucknawi di dalam al-Raf` wa al-takmil fi al-jarh wa al-ta`dil (hal. 319-320) dengan kata Suyuti:

“Jangan biarkan al-Dhahabi merapu dan membohongi mu, kerana dia telah pergi terlalu jauh sehingga turut merapu terhadap Imam Fakhr al-Din ibn al-Khatib [al-Razi], dan terhadap seorang Imam yang besar seperti:

Abu Talib al-Makki pengarang kitab Qut al-qulub, dan orang yang lebih hebat dari Abu Talib iaitu: Sheikh Abu al-Hasan al-Ash`ari, yang kemahsyurannya memenuhi langit! dan turut memenuhi kitab-kitab al-Dhahabi sendiri seperti: al-Mizan, al-Tarikh, dan Siyar al-nubala'. Adakah kamu akan menerima kata-kata beliau yang bertentangan dengan ini semua? Tidak sama sekali, Demi Allah! Perkataanya tidak diterima berhubung dengan mereka ini; sebaliknya kita penuhi hak mereka dari kita, dan kita tunaikan hak itu sepenuhnya.

Selawat dan sejahtera buat Junjungan Besar Rasulullah,
kaum keluarganya dan para Sahabatnya.


*Dan Allah jua Yang Maha Mengetahui*



No comments: