Sunday, January 11, 2009

Bahagian Pertama: Penjelasan Tentang Kesatuan Antara Ulama’ Salafus Soleh dengan Golongan Al-Asya’irah dan Menjawab Sebahagian Pertuduhan Ke Atas Al-Asya’irah

Dewasa ini, ramai yang terkeliru dengan slogan yang mengatakan bahawa: “ayuh, mari kita kembali kepada manhaj salafus soleh?”

Kita bertanya semula kepada mereka: “Apakah maksud dari seruan saudara tersebut. Adakah, saudara menyeru sedemikian kerana kami (majoriti umat Islam) kini tidak mengikut manhaj salafus soleh?”.

Sebahagian daripada mereka akan pasti menjawab: “Tidak. Kamu semua (iaitu golongan yang didakwa sebagai konservertif di Malaysia, dan digelar sebagai Al-Asya’irah di seluruh dunia), mengikut manhaj Al-Asya’irah (ulama’ beraliran Al-Asya’irah dalam bidang aqidah), bukan manhaj salafus soleh?”

Jesteru, tanyakan kepada mereka semula, apakah bezanya antara mazhab dan kefahaman golongan Al-Asya’irah (golongan majoriti Ahlus Sunnah wal Jamaah, bahkan merekalah (dan golongan Al-Maturidiyah) merupakan golongan yang dimaksudkan sebagai Ahlus Sunnah wal Jamaah terutamanya sebelum Sheikh Ibn Taimiyah muncul), dengan mazhab salafus soleh?”

Insya Allah, kita mampu mendengar jawapan bahawa: “Golongan salafus soleh bermanhaj isbat (menetapkan sitaf-sifat yang mutasyabihat) sedangkan golongan Al-Asya’irah pula menta’wilkan sifat-sifat khabariyyah (mutasyabihat).”

Mereka jesteru pasti akan menukilkan beberapa perkataan ulama’ salaf yang mengingkari ta’wil dan menyeru kepada isbat. Dan, inilah yang mereka sering lakukan untuk mengelirukan golongan awam, dan sebahagian golongan ahli ilmu, dengan dakwaan, golongan Al-Asya’irah tidak mengikut Salafus Soleh dalam berinteraksi dengan sifat-sifat Khabariyyah (mutasyabihat).

Jika kita sebagai orang awam, maka janganlah terkejut dengan dakwaan ini, hatta dengan berjela-jela nukilan mereka, dalam membuktikan bahawa Al-Asya’irah sememangnya bertentangan dengan golongan salafus soleh. Biarlah kita senaraikan pertikaian mereka terhadap golongan Al-Asya’irah tersebut, yang mana, menurut mereka, bercanggah dengan manhaj salafus soleh.

Sebenarnya, setelah penulis yang faqir ini kembali merujuk buku-buku para pelopor aliran tersebut (aliran yang mendakwa golongan Al-Asya’irah bercanggah dengan golongan salafus soleh yang hidup dalam tiga kurun terawal hijrah), seperti buku fatawa Ibn Taimyah, Kitab Tauhid, Fathul Majid, dan pelbagai Syarah pemuka-pemuka mereka kepada matan Aqidah At-Tohawiyah, maka penulis yang alfaqir bandingkan dengan ucapan-ucapan para ulama’ salafus soleh menerusi buku-buku mereka dan seterusnya membuat perbandingan semula dengan buku-buku para ulama’ Al-Asya’irah, khususnya berkenaan dengan masalah ayat-ayat mutasyabihat ini.

Antara buku-buku yang sempat dirujuk dalam melihat pendirian ulama’ salafus soleh adalah seperti buku Al-Musnad bagi Imam Ahmad, kitab-kitab hadis yang enam, dan sebagainya dan begitu juga buku-buku ulama’ Al-Asya’irah yang menukilkan perkataan-perkataan ulama’ salaf dalam perkara tersebut, seperti buku Iljamul Awam fi Ilmil Kalam dan pelbagai buku dalam bidang aqidah karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali r.a., Al-Asma’ Wa As-Sifat bagi Imam Al-Baihaqi, Mukhtasar Al-Ulwi bagi Imam Az-Zahabi, Asas At-Taqdis bagi Imam Ar-Razi dan sebagainya. Begitu juga, dengan merujuk buku-buku ulama’ moden seperti Fusulun fil Aqidah karangan Dr. Al-Qaradhawi, As-Salafiyah karangan Dr. Al-Buti, Naqd Qowaid At-Tasybih karangan guru kami sidi Dr. Umar Abdullah Kamil An-Naqsyabandi, Naqd risalah tadmuriyyah dan Kasyf Shogir karangan Sheikh Sa’id Fudah dan sebagainya.

Alhamdulillah, dengan izin Allah s.w.t, Allah s.w.t. menyingkap kesamaran penulis yang faqir ini, dari slogan golongan yang menyeru: “ayuh, kembalilah kepada manhaj salafus soleh”. Sebenarnya, apa yang penulis yang faqir lagi hina nampak, setelah mengkaji sedikit sebanyak, penulis boleh berkata: “wahai penyeru dengan seruan sedemikian. Kami (yang dikatakan sebagai golongan Al-Asya’irah atau khalaf ) sudah lama mengikut manhaj salaafus soleh dalam aqidah, padahal, kamulah yang perlu kembali kepada manhaj salafus soleh”.

Mengapa kita perlu menyeru golongan yang menyeru kita kepada manhaj salafus soleh, kepada manhaj salafus soleh, sedangkan dari dakwaan mereka, seolah-olah mereka sudah bersama-sama dengan manhaj salafus soleh (khususnya dalam masalah mutasyabihat tersebut)?

Kita menyeru mereka kembali kepada manhaj salafus soleh kerana merekalah yang tidak bersama manhaj salafus soleh, sedangkan golongan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah sudah sekian lama bersama dengan manha salafus soleh. Mereka hanya bersama dengan sangkaan mereka, bahawa mereka sudah bersama dengan salafus soleh. Bak firman Allah s.w.t.: “Sesungguhnya sangkaan tidak mendatangkan kepada sebarang kebenaran”.

Jadi, sebagai kesimpulan bagi muqoddimah ini, alfaqir penulis cuba menjelaskan tentang golongan-golongan yang terlibat dalam apa yang akan dibincangkan sebelum ini, menurut definisi ahli ilmu itu sendiri.

Pertama: Golongan Salafus Soleh (mereka yang hidup dalam tiga kurun terawal hijrah).

Kedua: Golongan Al-Asya'irah (para ulama' Islam yang mengikut manhaj Imam al-Asy'ari dalam membahasakan tentang sifat-sifat ketuhanan dengan panduan nas-nas Islami (naqli) dan kecerdasan akal yang bersih).

Ketiga: Golongan Mutasallif atau, golongan yang konon-kononnya mengikut manhaj salafi (Golongan yang cuba mendakwa bahawa merekalah yang mengikuti manhajus salaf terutamanya dalam masalah mutasyabihat ini, dan menyalahkah golongan Al-Asya'irah (dalam masalah ini) yang mewakili majoriti umat Islam, bahkan yang mewakili golongan yang hampir dengan salafus soleh (sebelum kelahiran Ibn Taimiyah yang mengasaskan fahaman Mutasallif ini), bermula kurun ke-4 hijrah, seterusnya sehingga mewakili golongan majoriti umat Islam, sehingga ke hari ini.).

Al-Asya’irah dan Manhaj Salafus Soleh: Di Mana Percanggahannya?

Terlebih dahulu, untuk memahami perbincangan ringkas ini, kita perlu bongkar apa yang dipertikaikan oleh golongan pendakwa salafi yang menyeru kepada salafi versi mereka ini, tentang, di manakah percanggahan antara golongan Al-Asya’irah dengan golongan salafus soleh khususnya dalam masalah mutasyabihat?

Mereka berkata: “Golongan Al-Asya’irah menggunakan manhaj ta’wil dalam ayat-ayat mutasyabihat, sedangkan golongan salafus soleh, menggunakan manhaj isbat dalam berinteraksi dengan ayat-ayat khabariyah (mutasyabihat)”.

Lalu, mereka akan nukilkan beberapa contoh dan berterima kasihlah kepada contoh-contoh jika diberikan oleh mereka.

Namun, bagi orang-orang awam, atau sebahagian mubtadi’in dalam menuntut ilmu, janganlah khuatir dengan perbandingan-perbandingan tersebut, lantas terfikir bahawa, selama ini, mazhab jumhur umat Islam dalam bidang aqidah (Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah) telahpun bercanggah dengan mazhab salafus soleh. Mereka yang menukilkan apa yang mereka nukilkan tersebut sebenarnya tidakpun memahami apa yang mereka nukilkan dengan kefahaman yang sebenar, bahkan lebih malang lagi, mereka tersalah sangka dalam apa yang mereka nukilkan hanya kerana taqlid mereka kepada orang yang terlebih dahulu salah faham terhadap apa yang mereka nukilkan.

Kita tanyakan kepada mereka: “Apakah erti percanggahan itu dari sudut bahasa?”

Kita tolonglah mereka untuk menjawabnya: “Percanggahan bererti, dua perkara yang berlawanan antara satu dengan yang lainnya secara mutlak.” Contohnya, kain ini hitam atau putih? Kalau ia putih, maka ada yang kata ia hitam, maka ia bercanggah dengan hakikat kain itu sendiri.

Tetapi, cuba kita fahami pula dari contoh tersebut, jika kita mendengar, ada orang mengatakan bahawa: “kain ini bukan hijau”, adakah bertentangan dengan hakikat bahawa: “kain itu putih”? Hal ini jelas tidak bertentangan sama sekali, kerana kedua-duanya mempunyai makna yang sama. Satu dalam bentuk hakikatnya, satu dalam bentuk salbnya (penafian apa yang tiada daripadanya).

Lihat sekali lagi:

“Kain itu putih” dan “kain itu hitam”: kedua-duanya bercanggah antara satu sama lain.

“Kain itu putih” dan “kain itu bukan hijau”: kedua-duanya tidak bercanggah antara satu sama lain bahkan saling membenarkan antara satu sama lain.

Kekeliruan golongan yang keliru, dengan mengatakan bahawa: “golongan Al-Asya’irah bercanggah dengan golongan salafus soleh”, sebenarnya keliru dengan apa yang mereka katakan bercanggah itu sendiri. Mereka tidak faham apa yang mereka katakan bercanggah itu, dengan kefahaman yang sebenar. Mereka mentafsirkan apa yang menurut mereka bercanggah itu, dengan bukan tafsiran kepada kedua-dua pihak, tetapi dengan tafsiran mereka sendiri (yang merupakan pihak ketiga yang melagakan kedua-dua pihak tersebut/ salafus soleh dan Al-Asya’irah).

Apa yang mereka dakwa, sebagai percanggahan antara Salafus soleh dengan golongan Al-Asya’irah itu?

Kata mereka: Golongan Al-Asya’irah: ta’wil ayat mutasyabihat
Kata mereka: Golongan Salafus Soleh: isbat ayat mutasyabihat

Isbat dan ta’wil menurut mereka, dua perkara yang saling bertentangan seperti bertentangannya hitam dan putih pada contoh kain di atas.

Persoalan yang paling utama, betulkah isbat menurut salaf itu, suatu pertentangan dengan ta’wil menurut khalaf (golongan Al-Asya’irah), atau kita sendiri tidak faham dengan makna sebenar isbat di sisi salaf dan ta’wil di sisi khalaf (Al-Asya’irah).

Apabila seseorang tidak faham erti putih dan hijau, boleh jadi sahaja dia akan mengatakan bahawa perkataan: “kain ini putih” bertentangan dengan ayat: “kain ini bukan hijau”, jika dia beranggapan bahawa, putih dan hijau sama maknanya. Jadi, hasil ketidak fahaman tentang makna sebenar sesuatu inilah, yang mengundang kepada golongan tertentu sewenang-wenangnya menuduh golongan Al-Asya’irah dan golongan Salafus Soleh saling bertentangan.

Mereka memahami ta’wil menurut mereka, bukan seperti yang dimaksudkan oleh para Al-Asya’irah (dan golongan salafus soleh) dan memahami isbat (menetapkan sesuatu) dengan fahaman mereka, bukan menurut salafus soleh itu sendiri.

Apa kata mereka tentang ta’wil golongan Al-Asya’irah (yang mereka serang sekian kalinya)? Mereka kata, ta’wil golongan Al-Asya’irah merupakan ta’thil (menolak makna asal sifat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.). Persoalannya, benarkah golongan Al-Asya’irah dan hatta golongan salafus soleh memahami bahawa, ta’wil itu secara mutlak sebagai ta’thil (menafikan apa yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.)?

Ini kembali kepada perbahasan Bahasa Arab itu sendiri. Bagi mereka yang kurang berinteraksi dengan Bahasa Arab dan Kesusasteraanya, maka pasti akan terkeliru dengan penjelasan golongan pendakwa salafi ini. Mereka menegaskan bahawa, ta’wil golongan Al-Asya’irah merupakan satu agenda ta’thil (menafikan sifat Allah s.w.t.) yang sama seperti golongan mu’tazilah dan sebagainya.

Adakah golongan Al-Asya’irah, golongan salafus soleh dan ahli Bahasa Arab itu sendiri menyatakan bahawa: Ta’wil merupakan ta’thil? Dari kaedah manakah, yang memberi faham bahawa, ta’wil ialah ta’thil (mengabaikan dan menafikan sifat Allah s.w.t.)?

Hatta, kalau kita melihat kaedah Bahasa Arab itu sendiri, tidak ada yang menyatakan bahawa: ta’wil (memberi satu makna lain kepada lafaz tertentu) sebagai ta’thil (menafikan terus perkara tersebut).

Apa itu ta’wil sendiri dalam kaedah Bahasa Arab?

Ta’wil ertinya, memberisatu makna lain kepada sesuatu lafaz, berdasarkan qarinah (petunjuk) dalam jumlah keseluruhan atau sebahagian ayat tersebut.

Contohnya: “Singa sedang memandu kereta dengan laju”.

Perkataan singa tersebut, dalam jumlah keseluruhan ayat di atas “…sedang memandu kereta dengan laju”, membawa kepada kesamaran (mutasyabihat) kerana dari sudut hukum adat dan semulajadi, seekor singa tidak boleh memandu kereta, apatah lagi dengan laju. Singa dalam ayat itu ialah bahan perbincangan kita dalam ayat ini, sedangkan jumlah seluruh ayat tersebut menjadi petunjuk bagi membawa seseorang kepada mutasyabihat (kesamaran).

Jadi, jika ada kesamaran dalam ayat, berdasarkan kaedah bahasa dan hukum alam itu, seseorang yang memahami kaedah Bahasa yang digunakan oleh orang yang bercakap tersebut, pasti tidak cepat memahami ayat tersebut dengan makna zahir, iaitu, sememangnya singa hakikilah (binatang yang berambut dan sebagainya) yang memandu kereta tersebut. Ii kerana, dari sudut hukum alam, ianya membawa kesamaran. Qarinah (petunjuk) yang boleh membawa kesamaran dalam ayat tersebutlah iaitu “…memandu kereta dengan laju”, boleh menyebabkan seseorang tertanya-tanya akan maksud sebenar perkataan singa dalam ayat tersebut.

Adakah ia maksudkan sebagai singa hakiki, atau sekadar kiasan (majazi)?

Nah, kerana manusia tahu, dalam kaedah bahasa itu sendiri, ada kaedah hakiki dan majazi (kiasan), yang menyebabkan akhirnya, dia tidak cepat memahami ayat tersebut secara zahirnya (iaitu, sememangnya singa betullah yang memandu kereta tersebut). Ini kembali kepada kaedah bahasa sendiri, iaitu konsep kiasan (majazi).

Jadi, berdasarkan ilmu sastera dan perumpamaan (dalam ilmu Bahasa Arab dikenali dengan ilmu balaghah), sememangnya ada konsep majazi ini. Di dalam konsep majazi (kiasan ini), perkataan yang menjadi bahan perbincangan (seperti singa dalam ayat di atas), sememangnya tidak dimaksudkan dengan maknanya dari sudut bahasa (ma’na lughowi).

Singa: makna Lughowi (bahasanya): Seekor binatang yang buas, berbulu di sekeliling kepalanya dan sebagainya, yang boleh digambarkan oleh semua yang pernah melihatnya.

Singa: makna daripada kiasan:- seorang yang garang. Seorang yang berani dan sebagainya.

Dari mana dapat makna kiasan seperti ini? Kiasan ialah perumpamaan, jadi jika seseorang memberi kiasan dengan satu perkataan, maka makna asal yang dimaksudkan oleh beliau mestilah ada ciri-ciri yang sama dengan ciri-ciri perkataan yang digunakan sebagai perumpaan tersebut.

Contohnya, seorang yang berani, bagaikan singa. Orang yang berani berkongsi ciri-ciri dengan singa dari sudut "keberanian" dan"sifat garang"nya. Jadi, perkongsian sifat dan ciri-ciri menjadi kayu pengukur kepada kesesuaian ta'wi bagi perkataan-perkataan kiasan (majazi) tersebut. Sebagai contoh yang paling rendah: "Si fulanah cantik laksana bulan". Si fulanah itu subjek, dan jumlah prediket tersebut membentuk satu jumlah perumpamaan. Adapun perumpamaan dalam jumlah ayat tersebut ialah bulan, dan cantik ialah perkongsian sifat antara subjek dan perumpamaan.

Dari kaedah perumpamaan inilah, akhirnya membentuk satu kesusasteraan yang lebih tinggi yang dikenali dengan majaz (kiasan), seperti contoh: "Bulan masuk ke kedai." Semua orang yang faham akan ilmu bahasa dan berfikiran waras, akan memahami bahawa, yang dimaksudkan dengan bulan dalam ayat di atas bukanlah bulan hakiki, tetapi sekadar perumpamaan. Ini disebabkan petunjuk (qarinah) dalam ayat tersebut yang menimbulkan kesamaran seterusnya mengundang kemungkinan bahawa ia ialah ayat kiasan.

Sesiapa yang tidak memahami ilmu bahasa yang mudah seperti ini, bakal terperosok ke dalam kecelaruan yang lebih parah, terutamanya apabila sibuk membincangkan tentang ayat-ayat mutasyabihat (khabariyah) yang juga tidak terlepas dari tradisi dan bahasa yang telah dibincangkan sebelum ini.

Seseorang yang mahu terus memahami perbahasan selanjutnya sewajarnya memahami beberapa istilah penting iaitu:

Majazi: Kiasan.

Ta'wil: Memalingkan makna sesuatu perkataan daripada maknanya yang asal dari sudut bahasa.

Qarinah: Petunjuk yang menunjukkan bahawa jumlah ayat tersebut ialah satu kiasan, yang mana ianya mengundang kesamaran, samada kerana ianya berlawanan dengan hukum adat (seperti bulan masuk ke kedai), hukum akal (seperti si anak melahirkan ibunya), hukum tanzih (menyucikan Allah) dalam aqidah Islamiyah (seperti Tuhan di atas Arasy) dan sebagainya.

Mutasyabihat: Kesamaran dari sudut zahirnya.

Makna zahir sesuatu perkataan: Maknanya dari sudut bahasa.

Makna Lughowi: Makna dari sudut zahir atau dari sudut bahasa.

Dan sebagainya.

Selanjutnya, bagi sesiapa yang telah difahamkan oleh Allah s.w.t. akan penerangan yang dijelaskan sebelum ini, dapatlah mereka mendalami perbahasan seterusnya iaitu, berkaitan dengan persoalan: "benarkah ada percanggahan manhaj Al-Asya'irah dan manhaj Salafus soleh dalam memhami nas-nas mutasyabihat dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah?".

Perbezaan Tidak Semestinya Percanggahan

Satu nota yang paling penting ialah, perbezaan antara dua perkara tidak semestinya mengundang percanggahan antara satu sama lain. Contohnya:

Ayat: "Pen ini hijau"

Dengan:

Ayat: "Pen ini bukan biru".

Dua ayat di atas, walaupun berbeza dari sudut pendekatannya, tetapi tidak pernah mengundang percanggahan dari sudut maknanya, kerana pendekatan pertama berbentuk isbat (menetapkan apa yang ada pada pen tersebut) sedangkan pendekatan dalam ayat kedua berbentuk nafi (menafikan apa yang bukan pada pen tersebut). Ia merupakan perbezaan dari sudut jenis (tanawwu') atau kepelbagaian jenis, bukan perbezaan yang bercanggah antara satu dengan lainnya (ta'arrud).

Jika seseorang mampu memahami dua contoh yang diberikan, insya Allah, dia akan mampu memahami adakah manhajAl-Asya'irah dan manhaj Salafus Soleh bercanggah dalam perbezaan, atau sekadar berbeza jenis pendekatan, tetapi tidak bertentangan?

Jadi, fahamlah kita, berbezaan itu sendiri ada dua jenis iaitu:

Tanawwu': Berbeza dari sudut jenis, tetapi tidak bertentangan (seperti contoh yang lalu).

Ta'arrud: Perbezaan yang membawa kepada pertentangan dan percanggahan seperti ayat: "pen ini hijau" dengan ayat: "pen ini biru" atau seperti ayat: "pen ini hijau" dengan ayat: "pen ini bukan hijau". Kedua-dua contoh merupakan contoh bagi perbezaan berbentuk pertentangan dan percanggahan.

Persoalannya lagi:

Benarkah manhaj salafus soleh berbeza dengan manhaj Al-Asya'irah dalam memahami nas-nas mutasyabihat?
dan benarkah perbezaan tersebut (kalau ada sekalipun), suatu perbezaan yang bertentangan antara satu dengan yang lain?

Marilah kita kaji apakah yang didakwa oleh golongan mutasallif, bahawa golongan Al-Asya'irah dan golongan Salafus Soleh saling bertentangan dalam memahami nas-nas mutasyabihat (atau menurut isitilah golongan mutasallif: ayat-ayat khabariyah).

Menurut golongan Mutasallif:

Golongan Salafus Soleh Bermanhaj: Isbat (menetapkan) sifat-sifat mutasyabihat tersebut.

Golongan Al-Asya'irah Bermanhaj: Menta'wilkan sifat-sifat Mutasyabihat tersebut.

Sebenarnya, dakwaan golongan Mutasallif tersebut tidak bersifat jami' dan mani' (tidak bersifat lengkap dan menyeluruh).

Hakikatnya, bukan semua golongan salafus soleh tidak menta'wil ayat-ayat mutasyabihat dan bukan juga semua golongan Al-Asya'irah tidak mengisbatkan sifat-sifat mutasyabihat.

Dalam erti kata yang lain, bukan semua golongan Salafus Soleh mengisbatkan semua ayat-ayat mutasyabihat tanpa menta'wilkannya, dan bukan juga semua golongan Al-Asya'irah menta'wilkan ayat-ayat mutasyabihat tanpa mengisbatkannya.

Bahkan, pada hakikatnya, Isbat menurut salafus soleh tidak ada bezanya dengan ta'wil di sisi Al-Asya'irah, dari sudut hakikat, cuma berbeza dari sudut pendekatan sahaja. Cumanya, yang mempermasalahkan antara kedua-dua pihak tersebut adalah golongan ketiga, iaitu golongan mutasallif (konon-konon salafi dari sudut manhaj), dek kerana tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh kedua-dua pihak (salafus soleh dan Al-Asya'irah) dengan isbat dan ta'wil itu sendiri.

Insya Allah, alfaqir penulis akan meluaskan skop perbincangan agar lebih mendekati kefahaman sebenar tentang isbat dan ta'wil menurut Al-Asya'irah dan salafus soleh, berdasarkan kaedah Bahasa Arab itu sendiri, di samping itu, menjelaskan pula perihal dan peranan tafwidh yang menjadi ikatan antara golongan salafus soleh dan Al-Asya'irah seterusnya membezakan keduanya daripada manhaj mutasallif yang terasing.

Isbat Menurut Salafus Soleh

Para ulama' salafus soleh yang memahami seluk-beluk Bahasa Arab yang tinggi, serta memahami akan kepentingan manhaj tanzih (menyucikan Allah s.w.t. dari sifat-sifat yang tercela dan kekurangan) dalam aqidah Islamiyah, pasti akan lebih berwaspada dalam berinteraksi dengan nas-nas yang membincangkan tentang sifat-sifat Allah s.w.t., apatah lagi dalam berinteraksi dengan nas-nas yang menyebut sifat-sifat yang mutasyabihat (kesamaran) dari sudut zahirnya.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam buku beliau (fusulun fil Aqidah) menegaskan bahawa: "(Hakikat Isbat menurut salaf) pada hakikatnya ialah, mengekalkan (lafaz) tersebut dengan zahirnya, dengan menafikan takyiif (keadaan dan bentuk sifat tersebut) serta tamsil (menyamakan sifat tersebut dengan sifat makhluk). (m/s 40).

Pun begitu, menurut jumhur ulama' Al-Asya'irah, golongan salafus soleh bukanlah bermanhaj isbat, tetapi bermanhaj tafwidh dalam masalah mutasyabihat ini (rujuk buku Ibn Taimiyah laisa Salafiyan (Ibn Taimiyah bukan Salafi) karangan Sheikh Mansur Muhammad Uwais).

Jadi, ada dua pendapat ulama' dalam membincangkan tentang manhaj Salafus Soleh dalam berinteraksi dengan ayat-ayat Mutasyabihat.

Pendapat Pertama: Isbat iaitu, menetapkan lafaz zahir perkataan tersebut.

Pendapat Kedua: Tafwidh iaitu menyerahkan makna lafaz tersebut kepada Allah s.w.t..

Pendapat kedua adalah pendapat majoriti ulama' Islam Ahlus Sunnnah wal Jamaah mengenai Salafus Soleh, termasuklah pendapat guru-guru kami seperti Dr. Umar Abdullah Kamil, Sheikh Sa'id Fudah dan sebagainya.

Dr. Al-Qaradhawi sendiri mengatakan bahawa: "Realitinya, bagi sesiapa yang membaca karangan para ulama' salafus soleh berkenaan ayat-ayat mutasyabihat tersebut, maka dia akan dapati bahawa, kebanyakkan daripada mereka meninggalkan usaha untuk mendalami makna ayat-ayat mutasyabihat tersebut, tidak bersusah-payah untuk mentafsirkannya dengan sebarang ungkapan. (Ini manhaj tafwidh)

"Perkara ini jelas bahkan, hampir kepada tahap muttafaqun alaih (disepakati oleh ulama') sebelum kelahiran Sheikhul Islam Ibn Taimiyah dan madrasahnya (pemikiran dan manhajnya yang tersendiri)…" (fusulun fil aqidah 40-41)

Jadi, persoalannya, adakah golongan Salafus Soleh itu bermanhaj isbat ataupun bermanhaj tafwidh berkenaan dengan ayat-ayat mutasyabihat.

Penulis yang faqir berpendapat bahawa:

Kedua-dua pendapat betul. Ini kerana, isbat menurut salafus soleh dan tafwidh bukanlah dua perkara yang berlawanan, tetapi berbeza dari satu sudut, pada hakikatnya satu perkara yang sama.

Penjelasannya:

Seperti yang disebutkan oleh Sheikh Dr. Al-Qaradhawi sebelum ini, bahawa, manhaj isbat menurut salafus soleh ialah: "menetapkan lafaz zahir ayat-ayat mutasyabihat tersebut" tidaklah bercanggah dengan manhaj tafwidh itu sendiri.

Hal ini kerana, majoriti golongan salafus soleh sememangnya menetapkan lafaz perkataan-perkataan mutasyabihat tersebut, namun tidak menetapkan maknanya secara lughowi (dari sudut bahasa) (isbat lafaz), bahkan menyerahkan makna perkataan yang diisbatkan tersebut kepada Allah s.w.t. semata-mata (manhaj tafwidh).

Jadi, kita dapat simpulkan bahawa, manhaj salafus soleh dalam masalah ini ialah, isbat lafaz (menetapkan lafaz zahir) tanpa menetapkan makna lughowi bagi perkataan tersebut (bukan manhaj isbat ma'na lughowi), di samping menyerahkan maknanya kepada Allah s.w.t. (tafwidh).

Jadi, dapatlah difahami bahawa, mereka isbat dan tafwidh dalam masa yang sama, kerana isbat mereka, sekadar isbat lafaz, bukan isbat ma'ana lughowi.

Kita beri contoh antara tafwidh, isbat lafaz dan isbat ma'na lughowi seperti berikut.

Si A berkata: "Si Bulan masuk ke dalam kedai".

Manhaj isbat lafaz ialah apabila seseorang berkata: "Saya percaya dengan kata-kata Si A, bahawa memanglah Si Bulan tersebut masuk ke dalam kedai, tapi Si Bulan tersebut bukanlah bulan yang mengambang di waktu malam. Ianya ada makna lain, bukan makna dari sudut bahasa (iaitu, bulan yang di atas langit di waktu malam tersebut).

Manhaj Tafwidh ialah, apabila seseorang berkata: "Saya percaya dengan kata-kata Si A, tetapi saya serahkan makna sebenar perkataan Bulan tersebut kepada si A, kerana dialah yang mengatahuinya, sedangkan saya tidak tahu makna tersebut.

Manhaj Isbat Ma'na Lughowi ialah, apabila seseorang berkata: "Saya percaya dengan kata-kata Si A bahawa Bulan masuk ke dalam kedai, dan saya tahu makna perkataan bulan tersebut, kerana ia memang makna dari sudut bahasa (iaitu, pada pandangannya, sememangnya si A memaksudkan bahawa bulan yang menerangi malamlah yang masuk ke kedai) tapi cuma saya tak tahu bagaimana bulan tersebut boleh masuk ke dalam kedai.

Apa yang kita dapati, Manhaj Isbat Lafaz dan Manhaj Tafwidh adalah dua manhaj yang seiringan kerana, manhaj Isbat Lafaz, sekadar menetapkan lafaz perkataan makna tersebut, tetapi menegaskan bahawa, tidak mengetahui akan makna lafat tersebut, sedangkan manhaj tafwidh pula menyerahkan makna tersebut kepada yang bercakap. Jadi, Isbat Lafaz dan Tafwidh merupakan satu manhaj yang selari.

Cuma, Manhaj Isbat Ma'na Lughowi inilah yang bertentangan dengan manhaj tafwidh, bahkan manhaj Isbat Ma'na Lughowi ini bukanlah manhaj salafus soleh tetapi manhaj Ibn Taimiyah dan para pengikutnya (yang akan dijelaskan kemudian insya Allah).

Kesimpulannya, tiada beza besar antara manhaj Isbat Lafaz dengan manhaj Tafwidh, bahkan kedua-duanya sama hakikat pendekatannya dan kedua-duanya inilah yang merupakan manhaj majoriti salafus soleh dalam masalah ini. Adapun manhaj Isbat Ma'na Lughowi (menetapkan maknanya dari sudut zahir) sememangnya tidak termasuk dala manhaj salafus soleh, yang akan dibincangkan selepas ini.

Isbat Lafaz atau Tafwidh di Sisi Salafus Soleh dan Ta'wil Al-Asyairah: Adakah Dua Manhaj yang Saling Bercanggah?

Setelah kita ketahui bahawasanya, manhaj majoriti salafus soleh ialah manhaj tafwidh dan isbat lafaz (menyerahkan makna perkataan tersebut kepada Allah s.w.t.. Hanya sekadar beriman dengan lafaz tersebut, tanpa memahaminya dengan maknanya dari sudut bahasa, seperti memahami perkataan Yadd dengan makna tangan), dapatlah kita singkap perbezaan antara manhaj tafwidh dan ta'wil, adakah ia dua perkara yang berbeza, atau sekadar dua pendekatan yang sama hakikatnya?

Sheikh Dr. Al-Buti dalam buku beliau As-Salafiyyah, ketika membahaskan tentang ta'wil dan tafwidh, dan Sheikh Dr. Al-Qaradhawi dalam buku beliau fusulun fil Aqidah (yang mana keduanya menurut kami, merupakan antara ulama' yang paling berusaha untuk menyatukan umat Islam, dan semoga Allah s.w.t.membantu mereka), akhirnya juga membuat kesimpulan bahawa-dengan lafaz Al-Qaradhawi (m/s145)-: "Sesungguhnya, kedua-dua golongan (salafus soleh dan Al-Asya'irah/khalaf) pada akhirnya (pada hakikatnya-setelah diperincikan dan dikaji dengan teliti-sememangnya menta'wilkannya (ayat-ayat mutasyabihat) tersebut. Cumanya, golongan salafus soleh menta'wilnya dengan ta'wil ijmali (ringkas) sedangkan golongan khalaf (Al-Asya'irah) menta'wilnya dengan ta'wil tafsili (terperinci)."

Mengapa menurut Dr. Al-Qaradhawi dan Al-Buti, bahawasanya manhaj salafus soleh juga pada hakikatnya suatu manhaj ta'wil tetapi dalam bentuk ijmali (ringkas)?

Hal ini kerana, manhaj tafwidh yang menjadi manhaj majoriti para salafus soleh merupakan dalam masa yang sama, suatu manhaj ta'wil (memalingkan makna sesuatu lafaz daripada maknanya yang asal menurut bahasa), Cuma, manhaj tafwidh tidak memberikan sebarang ta'wilan (makna lain) kepada lafaz tersebut, walaupun pada hakikatnya memalingkan makna perkataan tersebut daripada makna asal dari sudut bahasa.

Contohnya, seperti kata salafus soleh (insya Allah, contoh-contoh terperinci akan dibentangkan setelah ini):

"Yadd Allah bukanlah suatu anggota yang yang berjuzuk-juzuk, yang berbentuk, dan sebagainya. Hanya Allah s.w.t. yang mengetahui makna yadd tersebut."

Jadi, para salafus soleh, dengan manhaj sedemikian (tafwidh) turut menolak makna perkataan yadd tersebut dengan maknanya dari sudut bahasa (suatu anggota yang berjuzuk-juzuk…), yang mana, penolakan terhadap maknanya dari sudut bahasa tersebut juga merupakan satu manhaj ta'wil secara tidak langsung. Bezanya dengan manhaj ta'wil tafsili di sisi Al-Asya'irah, di mana golongan Al-Asya'irah bertindak memberi makna lain (ta'wil) kepada lafaz tersebut, sedangkan majoriti golongan salafus soleh tidak memberikan ta'wil tersebut, namun keda-dua golongan sepakat bahawa, lafaz tersebut (seperti contoh yadd Allah) bukanlah bermaksud dengan maksud dari sudut bahasa dan berusaha memalingkan manusia daripada memahaminya dari sudut bahasa (dan inilah hakikat ta'wil)!

Golongan salafus soleh memalingkan (ta'wil) manusia daripada menetapkan makna perkataan-perkataan mutasyabihat dengan menafikan maknanya dari sudut bahasa seperti katanya: "yadd bukan suatu bahagian anggota zat atau tubuh" sedangkan Al-Asya'irah pula memalingkan (ta'wil) manusia dariapda menetapkan makna perkataan mutasyabihat dengan memberi makna lain kepada perkataan tersebut, dengan kaedah majazi dalam Bahasa Arab yang telah kita bincangkan sebelum ini, yang mana, makna lain tersebut mestilah sesuai dengan kaedah kiasan (majazi) dan makna Bahasa Arab itu sendiri, seperti menta'wilkan Yadd dengan kekuatan dan kekuasaan. Ini kerana, dari sudut Bahasa Arab sendiri, tangan boleh juga dikiaskan atau menjadi perumpamaan bagi kekuasaan seperti seseorang berkata: "Seluruh kerajaan negara ini dalam tanganku" bererti dalam kekuasaan dan dalam miliknya.

Kesimpulannya, tafwidh itu sendiri suatu ta'wilan kerana memalingkan makna asalnya dari sudut bahasa kepada suatu makna lain yang mana hanya diketahui oleh Allah s.w.t.. Jadi, tidak berlaku percanggahan antara golongan salafus soleh yang bermanhaj tafwidh dalam hal ini dengan golongan Al-Asya'irah yang bermanhaj ta'wil dalam hal ini, kerana ia berkaitan dengan dua pendekatan yang berbeza namun pada hakikatnya satu manhaj yang sama (iaitulah ta'wil itu sendiri).

Persoalannya: Kenapa Golongan Al-Asya'irah Memberi Ta'wil sedangkan Golongan Salafus Soleh Sekadar Tafwidh (Tidak Memberi Makna Lain)

Kepada persoalan ini, kita perlu bertanyakan kepada mereka yang mempersoalkannya, bahawa: "benarkah dakwaan anda, bahawa golongan Salafus Soleh sekadar Tafwidh dan tidak ada dalam kalangan mereka (Salafus Soleh) yang memberi ta'wil?

Dan, benarkan dakwaan anda, bahawa semua golongan Al-Asya'irah Memberi Ta'wil dan tiada dalam kalangan mereka yang bermanhaj Tafwidh?

Insya Allah, kami akan jawab persoalan tersebut terlebih dahulu, sebelum menjawab dua persoalan seterusnya.

Majoriti golongan Al-Asya'irah yang hidup di zaman di mana umat Islam semakin bertambah, bahkan ramai orang-orang bukan Arab memeluk Islam, maka di kala itu, ramai budaya-budaya dan pengaruh asing mula masuk ke dalam umat Islam. Maka, timbullah falsafah-falsafah luar yang menggugat institusi aqidah islamiyah dalam umat Islam, khususnya bagi umat Islam yang bukan dari orang-orang Arab.

Dek pertembungan ketamadunan antara bukan Arab dengan orang-orang Arab, memaksa umat Islam bukan Arab bertanyakan tentang banyak persoalan-persoalan yang baru, yang timbul hasil dari pertembungan ketemadunan tersebut. Bahkan, orang-orang A'jam (bukan Arab) juga tidak mampu menguasai Bahasa Arab dengan baik lantaran itu, tidak mahu memahami ungkapan-ungkapan dalam Al-Qur'an dengan baik

Hal ini lebih parah lagi, bila orang-orang awam Islam yang berbangsa A'jam berinteraksi dengan ayat-ayat mutasyabihat ini, di mana mereka hampir-hampir terjerumus ke dalam fahaman Tasybih (menyerupakan sifat-sifat Allah s.w.t. dengan sifat-sifat makhluk), dek kedangkalan mereka dalam memahami kaedah Bahasa Arab dan Kesusasteraannya yang tinggi.

Hal ini memaksa ulama'-ulama Islam Al-Asya'irah atau Khalaf, membuat satu pendekatan yang lebih mudah iaitu, dengan memberi ta'wil kepada ayat-ayat mutasyabihat tersebut dengan makna lain, yang bersesuaian dengan kaedah Bahasa Arab itu sendiri, kerana pendekatan tafwidh tidak lagi dapat difahami oleh kebanyakkan golongan A'jam, kerana kelemahan mereka dalam menguasai Ilmu Bahasa Arab terutamanya ilmu Majaz (kiasan).

Hakikatnya, bukan semua golongan Al-Asya'irah menggunakan pendekatan ta'wil tetapi, ramai juga dari kalangan mereka yang akhirnya kembali kepada manhaj tafwidh. Mereka berinteraksi dengan golongan awam sesuai dengan kondisi mereka. Kalau golongan awam tersebut berbangsa Arab, yang memahami kaedah Majaz, maka para ulama' Al-Asya'irah tersebut akan menggunakan pendekatan tafwidh. Adapun bagi golongan awam yang tidak ada asas ilmu Bahasa Arab yang tinggi, maka mereka akan menggunakan pendekatan ta'wil yang bersesuaian dengan aqidah Islamiyah dan kaedah Bahasa Arab itu sendiri.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan juga, ada sebahagian dari kalangan salafus soleh turut menggunakan pendekatan ta'wil bagi ayat-ayat mutasyabihat tertentu, kerana ianya lebih sesuai pada keadaan tersebut. Jadi, bukanlah semua ulama' salafus soleh sekadar tafwidh semata-mata, kerana ada juga dari kalangan mereka yang menta'wilkan ayat-ayat mutasyabihat, dan ada juga yang kadang-kala tafwidh dan kadang-kala ta'wil ayat-ayat tersebut, bersesuaian dengan konteks ayat itu sendiri.

Manhaj Tafwidh Para Salafus Soleh

Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi membahagikan tafwidh salafus soleh kepada tiga jenis yang utama iaitu (rujuk fusulun fil aqidah):

Pertama: Tafwidh Sorih (yang jelas)

Kedua: Tafwidh qorib Ila Isbat (yang hampir kepada isbat)

Ketiga: Tafwidh qorib ila Ta’wil (yang hampir kepada ta’wil)

Pertama Tafwidh yang jelas:

Iaitu, jenis tafwidh yang tidak sekadar mendiamkan diri daripada menafsirkan nas-nas mutasyabihat tersebut-kerana dengan mendiamkan diri, tidak menunjukkan seseorang itu tafwidh- melainkan dengan disertakan qarinah (petunjuk) yang menunjukkan kepada maksud tafwidh secara jelas.

1Jenis qarinah (petunjuk) yang pertama dalam tafwidh jenis ini ialah: dengan menyuruh orang mendiamkan diri dalam masalah tersebut, yang mana ini suatu petunjuk yang jelas menunjukkan akan kehendak tafwidh seseorang itu. Ramai para ulama’ yang menyuruh kepada sikap mendiamkan diri dari membahaskan tentang makna ayat-ayat mutasyabihat tersebut.

Contohnya:

Al-Imam Malik r.a. berkata: “Bertanya mengenainya (istiwa’) suatu perkara yang bid’ah” (aqidah As-Salaf w ashabul hadis karangan Imam As-Sobuni: 119)

Penulis berkata: Ini suatu petunjuk yang jelas bahawa, ada sebahagian ulama’ salaf yang bersikap menyerahkan makna perkara-perkara mutasyabihat kepada Allah s.w.t. serta-merta, serta melarang manusia daripada bertanya tentangnya kerana menurut mereka, tiada siapa pun tahu makna mutasyabihat tersebut melainkan Allah s.w.t..

Manhaj ini merupakan manhaj yang asas dalam salafus soleh, bahkan ia bercanggah dengan manhaj Ibn Taimiyah yang mengatakan bahawa, sifat-sifat mutasyabihat tersebut, diketahui maknanya, cuma tidak diketahui keadaannya sahaja (insya Allah akan dibincangkan dalam satu perbahasan yang khusus).

2Jenis qarinah (petunjuk) dalam tafwidh yang jelas ialah: apabila beriringan diamnya ulama’, keperluan untuk berkata. (Dalam erti kata yang lain, sikap ulama’ berdiam diri takkala ditanya, menunjukkan mereka menyerahkan makna ayat-ayat mutasyabihat itu terus kepada Allah s.w.t. tanpa mahu membincangkannya).

Contohnya seperti kata Abu Ubaid: “Jika ditanya kepada kami, tentang tafsirannya (ayat-ayat mutasyabihat), maka kami tidak menafsirkannya…” (Al-Asma’ wa As-Sifat karangan Imam Al-Baihaqi: 355)

3Jenis tafwidh yang sarih (jelas juga), di mana para ulama’ salaf melarang daripada menterjemahkan perkataan-perkataan mutasyabihat tersebut kepada bahasa selain daripada Bahasa Arab, atau pecahan daripadanya, atau mengiaskan kepadanya. Ini juga menunjukkan kepada manhaj tafwidh. Ini kerana, perkataan yang tidak diketahui maknanya, bagaimana mampu diterjemahkan ke bahasa asing?

Oleh yang demikian, Imam Sufian bin Uyainah r.a. berkata: “Apa yang disifati oleh Allah s.w.t. tentang diriNya dalam kitabNya, maka bacaan perkataan tersebut (seperti yadd) ialah tafsirannya (maknanya, cukuplah dengan menyebut perkataan tersebut, maka itulah yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t., tanpa perlu tahu makna sebenar dari sudut bahasa ataupun sebegainya- penulis). Tidak boleh seseorang menafsirkannya dengan Bahasa Arab (dengan mengisbatkan sifat tersebut dari sudut Bahasa Arab seperti manhaj Ibn Taimiyah yang akan dibahaskan selepas ini) ataupun menafsirkannya dengan bahasa Farsi (merujuk kepada menterjemahkan perkataan tersebut kepada bahasa asing, menurut maknanya dari sudut Bahasa Arab, seperti menterjemahkan perkataan Yadd Allah kepada tangan Allah)” (Al-Asma’ wa As-Sifat: 314).

Begitu juga dengan apa yang diriwayatkan oleh Imam Az-Zahabi dari perkataan Ibn Suraij: “Tidak boleh menterjemahkan sifat-sifatNya (yang mutasyabihat tersebut) ke dalam bahasa selain daripada bahasa Arab”.

Penulis menambah: Jadi, seseorang yang mendakwa mahu mengikut salaf, tidak sepatutnya menterjemahkan sifat-sifat mutasyabihat dengan maknanya dari sudut bahasa, ke bahasa-bahasa lain, seperti menterjemahkan Yadd Allah kepada tangan Allah. Ini kerana, para salafus soleh memahami dengan jelas bahawa, sememangnya bukan yang dimaksudkan dari perkataan-perkataan mutasyabihat tersebut adalah maksudnya dari sudut bahasa, seperti dakwaan Ibn Taimiyah dan para pengikutnya. Jadi, sesiapa yang menterjemahkan Yadd Allah dengan makna tangan Allah sememangnya tidak mengikut manhaj salafus soleh yang digariskan oleh Imam Sufian bin Uyainah r.a..

4Antara bentuk tafwidh juga, jika seseorang itu jelas mengatakan bahawa, tidak ada yang mengetahui maknanya (ayat-ayat mutasyabihat tersebut) kecuali Allah s.w.t.. Ini kerana, mereka mewakafkan bacaan Al-Qur’an, di mana Allah s.w.t. berfirman: “Tidaklah mengetahui akan ta’wilnya (ayat-ayat mutasyabihat tersebut) melainkan Allah…”

Mereka yang memilih untuk mewakafkan bacaan pada perkataan “melainkan Allah…” akan menegaskan bahawa, hanya Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui makna-makna mutasyabihat tersebut. Inilah usul kepada manhaj tafwidh yang jelas di mana menegaskan bahawa, hanya Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui maknanya.

Penulis menambah: segala jenis tafwidh sebelum ini (no1-3) kembali kepada asas jenis keempat ini, di mana tiada yang mengetahui makna perkataan-perkataan mutasyabihat tersebut kecuali Allah s.w.t..

Imam Abu Sulaiman Al-Khitobi r.a. berkata: “Mutasyabihat itu, cukuplah sekadar beriman mengenai sifat tersebut, dan cukuplah dengan mengetahui apa yang terzahir. Adapun maknanya yang sebenar(batinnya), diserahkan kepada Allah s.w.t. semata-mata…” (Al-Asma’ wa As-Sifat: 454).

Kesimpulannya, para salafus soleh bersikap menyerahkan makna perkataan-perkataan mutasyabihat tersebut, bulat-bulat kepada Allah s.w.t., tanpa memahaminya dengan sebarang makna, termasuklah dengan maknanya dari sudut bahasa, seperti manhaj yang dipelopori oleh Ibn Taimiyah (isbat ma’na lughowi) yang akan dibincangkan pada perbahasan selepas ini, insya Allah.

Kedua: tafwidh qorib ila isbat (tafwidh yang hampir kepada manhaj Isbat)

Ini ialah satu jenis tafwidh di mana, mengandungi beberapa petunjuk dan iringan-iringan yang menunjukkan seolah-olah yang dimaksudkan ialah isbat (menetapkan sesuatu sifat) dalam bentuk menyerahkan keadaannya kepada Allah s.w.t..

Contohnya, perkataan mereka: “perkaaan-perkataan tersebut ialah sifat” kemudian disertakan dengan iringan perkataan: “tanpa takyiif (membayangkan akan keadaannya atau membincangkan akan keadaannya)”. Dan perkataan mereka: “diikut akan zahirnya…” tentang ayat-ayat mutasyabihat tersebut, kemudian memalingkan keadaannya daripada apa yang difahami dari sudut bahasa.

Dr. Al-Qaradhawi seterusnya memberi komen: “Boleh jadi, ada sesetengah pengkaji tidak mampu membezakan perkataan jenis ini, samada ia tafwidh atau isbat… Kita dapati bahawa, golongan yang mempelopori manhaj isbat (ma’na lughowi, iaitu manhaj Ibn Taimiyah) mengunakan dalil-dalil ini untuk membela manhaj mereka, lalu berkata, ini manhaj Isbat bukan Tafwidh.

Penulis menambah sedikit-dengan rasa tidak layak untuk menambahnya di hadapan komen Dr. Al-Qaradhawi yang disanjungi-: bahawasanya, ucapan-ucapan sesetengah salafus soleh yang mana, seolah-olah membawa kepada manhaj Isbat, sememangnya-menurut kami- merupakan manhaj Isbat, tetapi bukan manhaj isbat ma’na lughowi versi Ibn Taimiyah, tetapi sebaliknya manhaj isbat dari sudut lafaz semata-mata (isbat lafaz), yang tidak bertentangan dengan manhaj tafwidh itu sendiri. Sheikh Dr. Al-Qaradhawi amat memahami makna ini, oleh kerana itulah, ia menamakan manhaj isbat lafzi ini, dengan nama “tafwidh yang hampir kepada isbat”, dengan erti kata yang lain, ia merupakan manhaj tafwidh yang boleh menimbulkan kesamaran bagi mereka yang mengikut manhaj isbat Ibn Taimiyah, padahal tidak sedemikian, kerana ia sekadar isbat lafaz, bukan isbat ma’na lughowi Ibn Taimiyah.

Oleh yang demikianlah, Sheikh Dr. Al-Qaradhawi seterusnya menukilkan komen Ibn Taimiyah dalam masalah ini dengan kata Ibn Taimiyah: “Sebenarnya, seseorang tidak akan menafikan takyiif (keadaan sifat tersebut) kalau sememangnya perkataan (lafaz) tersebut tidak diketahui akan maknanya. Hanyasanya, perkataan-perkataan yang diketahui akan maknanya sahaja, (seperti memahami tangan dengan makna, suatu anggota yang berjuzuk-juzuk, mengandungi jari jemari dan sebagainya), yang perlu dinafikan akan pengetahuan tentang keadaannya (kaifiyat). (Contohnya, maksud yadd Allah ialah, tangan Allah yang berbentuk anggota, namun keadaannya tidak diketahui)…”

Penulis menambah dengan izin Allah: “Walaupun setelah menukilkan ucapan Sheikh Ibn Taimiyah tersebut, Sheikh Dr. Al-Qaradhawi tidak memberi sebarang komen terhadap komen dan ta’liq Ibn Taimiyah, namun tidak bererti apa yang dikomen oleh Ibn Taimiyah tersebut benar, hatta menurut Sheikh Al-Qaradhawi. Ini kerana, sebelum itu, Sheikh Al-Qaradhawi sendiri mengatakan bahawa, ada golongan yang tersalah faham dari ucapan ulama’ salaf dalam tafwidh jenis ini, lalu memberi contoh komen Sheikh Ibn Taimiyah. Di sini jelas bahawa, Sheikh Al-Qaradhawi dengan penuh adab, takkala meletakkan komen Ibn Taimiyah, sememangnya bermaksud untuk menukilkannya sebagai contoh kesamaran sesetengah golongan dari ucapan Salafus soleh tentang masalah: “ia sifat, tanpa takyiif” tersebut.

Sebenarnya, komen terhadap ucapan Ibn Taimiyah tersebut bahawa, “menafikan ilmu takyiif (keadaan) menunjukkan bahawa perkataan mutasyabihat tersebut diketahui maknanya (dengan maknanya dari sudut bahasa), kerana sesuatu yang tidak diketahui tentang maknanya, tidak akan dinafikan tentang ilmu (pengetahuan) mengenai kaifiyatnya”, telahpun dikritik oleh Sheikh Sa’id Fudah dengan perbahasan yang agak tinggi, yang mana kami tidak mahu menukilkannya secara keseluruhan kerana tidak mahu membebankan mereka yang membacanya, yang masih tidak menguasai ilmu bahasa arab dan mantik dengan baik.

Insya Allah, sedikit komen Sheikh Sa’id Fudah terhadap pendapat Ibn Taimiyah tersebut akan disertakan pada perbahasan yang khusus setelah ini, dalam membongkar kesamaran dan kekeliruan manhaj isbat versi Ibn Taimiyah setelah ini, dengan izin Allah s.w.t..

Perkataan jenis tafwidh yang hampir kepada isbat banyak dapat ditemui dalam karangan para salafus soleh seperti dalam ucapan Imam Al-Asy’ari sendiri dalam buku beliau: “Al-Ibanah” (yang mana walaupun buku ini diragui nisbahnya kepada Al-Imam Al-Asy’ari sendiri), begitu juga dalam buku Imam Al-Baihaqi (Al-Asma’ wa As-Sifat).

Jadi, jika seseorang menukilkan perkataan salafus soleh: bahawa kita mengisbatkan seluruh sifat-sifat Allah s.w.t. yang disifati oleh Allah s.w.t. termasuklah sifat-sifat mutasyabihat, seperti Wajh, Yadd dan sebagainya tanpa takyiif (membincangkan akan keadaannya)…” bukan bererti ini manhaj isbat Ibn Taimiyah.

Ini kerana, para salafus soleh, takkala menegaskan bahawa, kita perlu mengisbatkan sifat-sifat mutasyabihat tersebut, bukan mengisbatkan maknanya dari sudut bahasa, tetapi sekadar mengisbatkannya dari sudut lafaz, seperti yang dibincangkan sebelum ini.

Adapun perkataan para ulama’ salaf pada perkataan: “tanpa takyiif” setelah mengisbatkan sifat-sifat mutasyabihat tersebut, jelas membawa maksud, maknanya tidak diketahui oleh mereka, dan tidak pula mereka memahaminya dari sudut bahasa seperti Ibn Taimiyah, kerana tanpa takyiif dalam istilah mereka, sama seperti: “tanpa memahaminya dari sudut bahasa”.

Lihatlah sendiri contoh perkataan Al-Baihaqi, di mana kata baliau pada tajuk-tajuk dalam buku beliau, contohnya: bab isbat sifat wajh Allah s.w.t., kemudian beliau mensyarah dengan demikian: “namun, ia bukanlah satu bentuk anggota”, sedangkan makna wajh dari sudut bahasa ialah satu bentuk anggota. Jadi, isbat menurut salafus soleh bukanlah isbat seperti dakwaan Ibn Taimiyah, kerana isbat salafus soleh semata-mata menetapkan lafaz kalimah tersebut, tanpa memahaminya dengan makna perkataan tersebut dari sudut bahasa, sedangkan Ibn Taimiyah menetapkan makna perkataan tersebut dari sudut bahasanya.

Tafwidh jenis inilah yang disalah sangka oleh sesetengah pengikut Ibn Taimiyah dengan mendakwa bahawa, golongan salafus soleh bermanhaj isbat, bukan tafwidh, sedangkan pada hakikatnya, golongan salafus soleh bermanhaj tafwidh, walaupun ada sesetengah dari kalangan mereka seolah-olah menggunakan istilah “isbat”. Isbat menurut mereka sekadar mengakui sifat Allah s.w.t. yang mutasyabihat tersebut dari sudut lafaznya, tanpa memahami lafaz yang diakui tersebut. Sedangkan, Ibn Taimiyah mendakwa bahawa golongan salafus soleh memahami maknanya dari sudut bahasa dan ini tidak benar, dan akan dijelaskan setelah ini.

Ketiga: Tafwidh yang hampir kepada Ta’wil

Di sana juga ada tafwidh yang hampir kepada ta’wil, dan kami (Dr. Al-Qaradhawi) akan menukilkan sebahagian contoh mengenainya. Golongan ini semacam ingin memalingkan makna daripada makna asal perkataan tersebut dari sudut bahasa, namun tidak memberi makna yang lain.

Ada satu nota penting di sini ialah mereka yang tafwidh dengan tafwidh ini berpendirian: “secara jelas menafikan zahir (makna asal perkataan tersebut dari sudut bahasa), dengan menegaskan bahawa, makna zahir tersebut tidak mungkin merupakan maksud yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.. Manhaj inilah yang lebih dikenali dengan: ta’wil ijmali (ta’wil secara ringkas). Ramai para ulama’ memilih untuk menafikan makna zahir perkataan tersebut secara jelas, di samping memilih untuk menyerahkan makna sebenar perkataan tersebut kepada Allah s.w.t..

Penulis menambah: “seperti contoh: perkataan yadd Allah. Mereka menafikan bahawa yadd yang dimaksudkan di sini ialah yadd yang difahami oleh makna bahasa, iaitu satu anggota yang berjuzuk, terbahagi dengan beberapa anggota, berjari dan sebagainya. Walaupun demikian, mereka menyerahkan makna sebenar perkataan tersebut kepada Allah s.w.t. tanpa memahaminya dengan makna dari sudut bahasa”.

Dr. Al-Qaradhawi seterusnya menambah: “Menurut Imam An-Nawawi r.a., inilah merupakan manhaj jumhur salafus soleh dan sebahagian daripada golongan mutakallimin (golongan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah).

Imam An-Nawawi r.a. berkata: “Mazhab jumhur ulama’ salaf dan sebahagian daripada golongan mutakallimin (ahli kalam dari kalangan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah): bahawa mereka beriman bahawasanya sifat-sifat tersebut (mutasyabihat tersebut) itu benar bersesuaian dengan sifat-sifat yang layak bagi Allah s.w.t.. Adapun zahirnya yang diketahui bersesuaian dengan sifat kita (iaitu, makna zahir perkataan tersebut dari sudut bahasa), bukanlah apa yang dimaksudkan (oleh Allah s.w.t.), dan mereka tidak memberikan ta’wilnya (makna lain bagi memalingkan perkataan tersebut dari maknanya dari sudut bahasa), di samping mempercayai akan kesucian Allah s.w.t. daripada sebarang sifat yang menyerupai sifat makhluk, dan suci dari pergerakan, perpindahan, dan segala sifat makhluk yang lain (yang hadis atau baharu).” (Syarah Sahih Muslim: 6/36)

Para ulama’ mutakallimin (Al-Asya’irah) yang terkenal dengan manhaj ta’wil pun (seperti Imam Al-Juwaini r.a., Imam Al-Ghazali r.a., Imam Al-Razi r.a. dan sebagainya), kadang-kala kembali kepada manhaj tafwidh jenis ini, di mana mereka menafikan makna perkataan tersebut dari sudut bahasa, namun tidak memberikan sebarang makna lain bagi perkataan tersebut, lalu menyerahkan makna sebenar perkataan tersebut kepada Allah s.w.t..

Sheikh Al-Qaradhawi (semoga Allah s.w.t. memberi ganjaran kepada beliau dengan manhaj kritikan beliau yang penuh adab dan semoga umat Islam dapat beradab dalam munaqasyah seperti beliau) memberi komen dalam perbahasan ini, terhadap pendirian keras Sheikh Ibn Taimiyah dalam menolak konsep tafwidh secara mutlak, dengan kata beliau (Al-Qaradhawi):

“Sesungguhnya, Ibn Taimiyah telah melakukan satu perkara yang merbahaya, dari sudut ini, dalam manhaj isbat beliau. Beliau mengingkari bahawa, adanya ulama’ salaf yang menafikan makna zahir ayat-ayat mutasyabihat tersebut. (rujuk fatwa Ibn Taimiyah 5/19). Maka, Ibn Taimiyah sebenarnya mengetahui bahawa: konsep “zahirnya tidak dimaksudkan” merupakan nadi konsep ta’wil itu sendiri (lalu cuba mengingkarinya), termasuklah jika ayat-ayat mutasyabihat tersebut, pada zahirnya membawa makna “tasybih atau tajsim” (menisbahkan sifat jisim kepada Allah s.w.t.).

Saya (Al-Qaradhawi) berkata: “Penentangan terhadap Ibn Taimiyah sebenarnya di sini (dalam bab ayat-ayat mutasyabihat ini), iaitu apa yang ditunjukkan (dimaksudkan) oleh zahir nas-nas mutasyabihat tersebut. Jika kami (Al-Qaradhawi dan para pengkritik manhaj Ibn Taimiyah dalam masalah ini) katakan pada makna firman Allah s.w.t.: “Bersabarlah dengan hukum ketentuan dariTuhanmu. Sesungguhnya kamu pada a’yunina (dalam bahasa melayu bererti: mata-mata Kami)” bermaksud (dari perkataan a’yunina (dalam Bahasa Melayu: mata-mata Kami) ialah: pada penjagaan dan pengawasan Kami (Allah s.w.t.), adakah kami (Al-Qaradhawi) telah terkeluar daripada petunjuk dan maksud ayat tersebut? Tidak sama sekali, bahkan itulah makna yang lebih tepat (berbanding dengan memahami a’yunina dengan makna dari sudut bahasa iaitu: pada mata-mata Kami). Inilah maksud dari ayat tersebut, tanpa mengisbatkan sifat mata-mata (dari sudut bahasa) kepada Allah s.w.t..”

Penulis menambah-dengan rasa hormat terhadap perkataan Sheikh Al-Qaradhawi tersebut, dan dengan rasa hormat dengan pandangan Sheikh Ibn Taimiyah-: “Di sini, jelas sekali pendirian seorang ulama’ yang mu’tadil (bermanhaj sederhana) seperti Sheikh Dr. Al-Qaradhawi sendiri, terpaksa mengkiritik dasar pemikiran Ibn Taimiyah dalam masalah ini, kerana telah jelas kesilapan beliau, takkala menolak konsep majaz dan konsep “zahir perkataan tidak dimaksudkan” tersebut. Ini kerana, konsep majaz dan sebagainya sememangnya terkandung dalam tabiat Bahasa Arab itu sendiri.

Oleh kerana itulah, Sheikh Al-Qaradhawi memberi komen lagi: “Sesungguhnya, dakwaan bahawa makna zahir sahajalah yang dimaksudkan oleh sesuatu nas (ayat atau perkataan), merupakan satu dakwaan yang tidak sejahtera dan tidak dapat diterima. Ini kerana, kadang-kala juga, dalam hal-hal ayat tertentu, makna kiasan (bukan makna asal sesuatu perkataan tersebut) lebih tepat dengan tabiat Bahasa Arab itu sendiri (seperti perkataan: tangan raja di atas seluruh rakyatnya. Tabiat bahasa sendiri mengakui, makna kiasan bagi tangan raja iaitu kekuasaan adalah lebih tepat daripada maknanya dari sudut bahasa, iaitu satu anggota dari tubuh raja tersebut.)”.

Terdapat juga dari kalangan golongan salafus soleh yang bermanhaj tafwidh (menyerahkan bulat-bulat makna perkataan mutasyabihat tersebut kepada Allah s.w.t.) kadang-kala menukilkan ta’wil-ta’wil terhadap ayat-ayat mutasyabihat tersebut, tanpa mengingkarinya (konsep ta’wil tersebut).

Contoh seperti dalam syarah Sahih Muslim oleh Imam An-Nawawi r.a., dalam bab hadis nuzul (turunnya) Allah s.w.t.:

“Pendapat kedua: Pendapat kebanyakkan golongan mutakallimin, dan sebahagian daripada kalangan salafus soleh- seperti Imam Malik dan Auza’i r.a.-yang mana mereka menta’wilkan ayat-ayat mutasyabihat dalam kondisi-kondisi tertentu: bahawa, ta’wil bagi nuzul (turunnya) Allah s.w.t. ada dua ta’wil. Salah satunya (ta’wil Imam Malik r.a.) ialah: turutnya rahmat Allah s.w.t. urusan dan para malaikatNya…” (Syarah Sahih Muslim 6/36-37)

-Tamat Nukilan Perbahasan dari buku Fusulun fil Aqidah karangan Sheikh Al-Qaradhawi (semoga Allah s.w.t. memelihara beliau) berkenaan bab ini-

Maka, sebarang bentuk ucapan-ucapan golongan salafus soleh yang pada dasarnya menunjukkan kepada “isbat”, maka ketahuilah bahawasanya, isbat tersebut juga adalah jenis tafwidh, terutamanya kembali kepada makna tafwidh yang kedua iaitu, tafwidh yang hampir kepada isbat.

Ingatlah bahawasanya, kalaupun ada dari kalangan ulama’ salafus soleh yang mengisbatkan sesuatu sifat mutasyabihat, mereka akan kembali kepada kaedah: “isbat tanpa kaif (menggambarkan keadaan sifat tersebut)”.

Sheikh Ibn Taimiyah menyangka atau mendakwa bahawa: perkataan tanpa kaif (menggambarkan keadaan sifat tersebut) dalam ungkapan salafus soleh bererti, mereka mengetahui makna tersebut, namun sekadar menafikan bentuk keadaan sifat tersebut, padahal makna “tanpa kaif” dalam ungkapan salafus soleh bererti, mereka tidak mengetahui langsung hakikat makna perkataan mutasyabihat tersebut, apatah lagi keadaan sifat tersebut.

Jadi, para salafus soleh mengisbatkan lafaz perkataan mutasyabihat tersebut, tanpa memahaminya dengan maknanya dari sudut bahasa, kerana menurut mereka, hanya Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui maknanya. Mereka mengatakan “tanpa kaif” bererti, mereka menegas orang lain daripada menggambarkan hakikat sifat tersebut dengan maknanya dari sudut bahasa.

Adapun Sheikh Ibn Taimiyah, memahami bahawa, golongan salafus soleh memahami ayat-ayat mutasyabihat dari sudut zahirnya (aknanya dari sudut bahasa), Cuma menegah dari orang membayangkan bentuknya sahaja. Ini bercanggah dengan manhaj asal tafwidh itu sendiri, yang merupakan manhaj hampir kesemua salafus soleh.

Namun, Dr. Al-Qaradhawi tidak menafikan, kemungkinan ada dari kalangan salafus soleh mengisbatkan sifat-sifat mutasyabihat tersebut dari sudut bahasa, walaupun bilangannya terlalu sedikit. Tetapi, ia suatu yang bersifat kesamaran, kerana boleh jadi juga, mereka tidak bermaksud untuk mengisbatkan maknanya dari sudut bahasa, Cuma disalah erti. Pun begitu, ia terlalu sedikit, kerana majoriti salafus soleh bermanhaj tafwidh.

Ta’wil dan Para Salafus Soleh

Walaupun majoriti Salafus Soleh mengambil sikap untuk tidak menta’wilkan perkataan-perkataan mutasyabihat dengan sebarang makna lain, sebagai ganti bagi memalingkan makna perkataan tersebut dari perkataannya yang zahir (dari sudut bahasa), kerana menyerahkan makna sebenar perkataan tersebut kepada Allah s.w.t., namun ada juga sebahagian daripada golongan salafus soleh yang memberi ta’wilan kepada sesetengah ayat yang mengandungi mutasyabihat, dalam keadaan-keadaan tertentu.

Ta’wil yang mereka gunakan adalah ta’wil yang diterima dan sememangnya bersesuaian dengan sunnah dan tabiat Bahasa Arab itu sendiri, yang mana dinamakan oleh ulama’ sastera Arab (balaghah) sebagai: kinayah (kata perumpamaan), majaz (kiasan) dan isti’arah atau kata pinjaman.

Contohnya:

Imam Ad-Dhihak r.a. dan Abu Ubaidah r.a. menta’wilkan firman Allah s.w.t.: “Setiap benda akan musnah kecuali WajahNya”. Wajah Allah s.w.t. dalam ayat tersebut bermaksud: ZatNya. (Daf’u Syibahu At-Tasybih oleh Imam Ibn Jauzi: 31).

Telah diriwayatkan secara ma’thur bahawa tafsiran sebahagian salafus soleh, terhadap ayat “Dia sentiasa bersama kamu di mana kamu berada” dengan makna, bersama makhluk dengan ilmuNya (bukan dengan zatNya).” (Fusulun fil Aqidah: 84).

Dalam ayat “Dan langit itu Kami (Allah) dirikan dengan ayydin (tangan-tangan dalam Bahasa Melayu)…” Imam Ibn Abbas r.a. menta’wilkan aydin dengan makna kekuasaan. (Tafsir At-Tabari: 27/6)

Dalam ayat berbunyi: “Telah datang Tuhanmu” (Al-Fajr: 22), Imam Ahmad bin Hanbal r.a. telah menta’wilkannya dengan makna: telah datang pahala (dari) Tuhanmu” (Al-Bidayah wa An-Nihayah: 10/328)

Dalam hadis sahih Al-Bukhari di mana Rasulullah s.a.w. menyebut: “Yadhak Allah” (dalam bahasanya bermaksud: Allah telah ketawa), dan Imam Al-Bukhari menta’wilkannya dengan maksud: “Allah merahmati”. Beliau menta’wilkan ketawa dengan makna rahmat. (Fathul Bari 6/123-124)

Imam Mujahid r.a. menta’wilkan perkataan “janbi” (dalam maksud bahasa bererti pada sisi) Allah s.w.t., dalam ayat surah Az-Zumar ayat 56, dengan maksud: perintah Allah s.w.t.. (Tafsir At-Tabari 24/13).

Terlalu banyak contoh di mana para salafus soleh menta’wilkan ayat-ayat mutasyabihat, yang tidak termuat untuk dinukilkan semuanya di sini. Namun, dapatlah kita ketahui bahawa, para salafus soleh sendiri tidak menolak ta’wil secara mutlak seperti sikap Ibn Taimiyah, kerana tidak sedikit dari kalangan mereka yang menta’wilkan sejumlah besar daripada ayat-ayat mutasyabihat dengan ta’wil yang bersesuaian dengan kaedah dan tabiat konsep kiasan dalam Bahasa Arab itu sendiri.

Jadi, dapatlah kita fahami bahawa, di antara manhaj salafus soleh dalam berinteraksi dengan ayat-ayat mutasyabihat, termasuklah manhaj ta’wil, di samping majoriti daripada mereka bermanhaj tafwidh (yang juga pada hakikatnya satu bentuk ta’wil dari sudut yang berlainan).

Jadi, kita tanyakan kembali, di manakah percanggahan manhaj golongan Al-Asya’irah yang dikatakan bermanhaj ta’wil, dengan golongan salafus soleh, sedangkan golongan salafus soleh sendiri bermanhaj tafwidh yang juga ta’wil dalam bentuk ringkasan, dan ada juga yang bermanhaj ta’wil (secara terperinci).

Samada ta’wil secara terperinci (ta’wil tafsili) yang dilakukan oleh majoriti para Al-Asya’irah dan sebahagian daripada golongan salafus soleh, mahupun manhaj tafwidh majoriti salafus soleh, kedua-duanya bersepakat dalam satu manhaj yang sama iaitu: “menafikan makna zahir ayat-ayat mutasyabihat tersebut” dan inilah sebenarnya nadi konsep ta’wil itu sendiri (iaitu, memalingkan daripada makna zahir (makna dari sudut bahasa) sesuatu perkataan tersebut). Inilah kesepakatan antara dua golongan terbesar umat Islam iaitu, salafus soleh dan Al-Asya’irah.

Cuma kini yang tinggal, hanyalah golongan mutasallif yang tercicir, yang mengikut versi manhaj salafi Ibn Taimiyah, sedangkan salafus soleh sendiri berlepas daripada manhaj isbat (ma’na lughowi) mereka.

Al-Asya’irah dan Salafus Soleh: Dua Manhaj yang Selari

Demikian sudah, perbahasan bahawa, golongan salafus soleh secara jumhur bermanhaj tafwidh dan ada juga sebahagian daripada mereka yang bermanhaj ta’wil. Apapun manhaj mereka, samada tafwidh mahupun ta’wil, kedua-duanya pada hakikatnya tidak terlepas daripada ta’wil (memalingkan makna daripada makna asal), samada secara ringkas (ijmali) mahupun secara terperinci (tafsili).

Persoalannya, adakah golongan Al-Asya’irah yang dituduh oleh golongan mutasallifah sebagai bercanggah dengan salafus soleh, mendatangkan satu manhaj baru selain daripada dua manhaj salafus soleh yang dibincangkan sebelum ini.

Tidak sama sekali.

Hakikatnya, golongan Al-Asya’irah juga tidak terlepas daripada dua manhaj tersebut, samada ta’wil (yang menjadi manhaj majoriti Al-Asya’irah dalam perbahasan mereka) mahupun tafwidh (yang menjadi manhaj sebahagian daripada mereka).

Sebenarnya, tidak timbul pembahagian bahawa, golongan salafus soleh bermanhaj tafwidh sedangkan golongan Al-Asya’irah bermanhaj ta’wil kerana dalam setiap kedua-dua golongan, ada kedua-dua manhaj tersebut.

Golongan salafus soleh juga tidak terlepas daripada manhaj ta’wil (secara terperinci) dan begitu juga golongan Al-Asya’irah tidak terlepas juga daripada manhaj tafwidh. Ini kerana, kedua-duanya berkongsi asas yang satu iaitu:

“Dalam ayat-ayat mutasyabihat, makna zahirnya bukanlah yang dimaksudkan dalam ayat tersebut”.

Inilah nadi ta’wil itu sendiri, yang mana kedua-dua golongan bersepakat mengenai nadi dan asas tersebut, walaupun ada yang memberi ta’wilannya sesuai dengan tabiat kiasan Bahasa Arab, dan ada pula yang menyerahkan bulat-bulat maknanya kepada Allah s.w.t..

Di sinilah percanggahan antara kedua-dua golongan (Salafus Soleh dan Al-Asya’irah) dengan golongan Mutasallif, yang terasing lagi keseorangan.

Pada hakikatnya, golongan Al-Asya’irah dan golongan As-Salafus Soleh berada dalam kefahaman yang sama, Cuma kadang-kala, sebahagian daripada mereka menggunakan pendekatan yang lain berbanding dengan sebahagian yang lain. Itu sahaja.

Menolak Dakwaan: “Salafus Soleh Menolak Konsep Ta’wil”

Jangan khuatir jika ada dari kalangan mutasallif yang cuba memenangkan diri mereka, dengan memberi nukilan-nukilan daripada para ulama salafus soleh yang kononnya menolak ta’wil, seterusnya dijadikan hujah untuk menolak golongan Al-Asya’irah.

Pertamanya, kita sudah jelaskan tadi, bahawa ramai juga dari kalangan ulama’ besar salafus soleh yang menta’wilkan ayat-ayat mutasyabihat, maka tidak timbullah di mana golongan salafus soleh keseluruhannya menolak ta’wil secara mutlak.

Kedua, hendaklah difahami bahawa, bukan semua jenis ta’wil ditolak oleh para ulama’ salafus soleh takkala mereka menolak ta’wil.

Ini kerana, ta’wil itu ada dua jenis.

Ta’wil Qorib: Bererti, ta’wilan yang mana, maknanya bersesuaian dengan tabiat konsep kiasan dalam Bahasa Arab itu sendiri seperti memberi ta’wil bahawa: yadd (tangan) bermaksud: kekuasaan. Dalam kaedah Bahasa Arab, ini boleh diterima.

Ta’wil B’id (yang jauh): Bererti, ta’wilan di mana, maknanya tidak bersesuaian dengan konsep dan kiasan dalam ilmu Bahasa Arab itu sendiri, seperti menta’wilkan yadd dengan maksud: pensil dan sebagainya, yang memang tiada kaitan langsung dengan kiasan yadd tersebut.

Kebanyakkan para ulama’ salafus soleh menolak ta’wil ba’id (yang jauh) kerana ia bercanggah dengan kaedah Bahasa Arab dan konsep kiasan dalam Bahasa Arab itu sendiri. Adapun ta’wil Qorib, maka selagimana ia bersesuaian dalam konteks ayat yang dibincangkan, dan bersesuaian dengan kaedah kiasan dalam Bahasa Arab, maka tidak mengapa.

Ketiga, hendaklah difahami bahawasanya, selalunya larangan ta’wil dari ulama’ salaf ditujukan kepada orang-orang awam dan jahil, sebagai langkah menyelamatkan mereka daripada pintu kesesatan. Ini kerana, orang-orang jahil dan awam tidak layak untuk menta’wilkan ayat-ayat mutasyabihat tersebut, kerana kecetekan ilmu mereka, dan dikhuatiri akan menjerumuskan mereka ke dalam penyelewengan.

Lihatlah, Imam Malik sendiri menegah daripada ta’wil, namun dalam riyawat yang lain, beliau sendiri menta’wilkan nas-nas mutasyabihat seperti menta’wilkan nuzul Allah s.w.t. (turunnya Allah s.w.t.) dengan maksud: turunnya rahmat Allah s.w.t..

Begitu juga dengan Imam Ahmad r.a. yang menegah ta’wil, dalam masa yang sama, beliau sendiri menta’wilkan banyak daripada nas-nas mutasyabihat seperti dalam contoh yang diberikan sebelum ini.

Jadi, ta’wil ini satu bidang khusus bagi mereka yang ahli, bukan sewenang-wenangnya seseorang itu boleh menta’wilkan ayat-ayat mutasyabihat tersebut. Jadi, jelaslah bahawa, larangan para ulama’ salaf terhadap ta’wil bukan larangan mutlak, bahkan ianya tertuju kepada larangan ta’wil dengan ta’wil ba’id (yang jauh dari makna asal dan kaedah kiasan dalam Bahasa Arab) dan larangan tersebut ditujukan kepada golongan awam dan yang masih lagi tidak layak untuk menta’wilkannya.

Adapun sikap majoriti ulama’ salafus soleh yang tidak menta’wilkan ayat-ayat mutasyabihat, hanyalah kerana sifat wara’ mereka dalam bidang agama, dan kerana kefahaman mereka dari ayat: “tidaklah mengetahui akan ta’wilnya (mutasyabihat) kecuali Allah…” Mereka berhentikan bacaan di ayat “kecuali Allah” sedangkan majoriti Al-Asya’irah memberhentikan bacaan ayat tersebut pada “kecuali Allah dan para ahli yang mendalami ilmu…”.

Sikap majoriti ulama’ salafus soleh yang tidak menta’wilkan ayat-ayat mutasyabihat juga adalah kerana, di zaman mereka, keperluan untuk ta’wil tersebut tidaklah terlalu tinggi. Adapun di zaman khalaf, di mana ramai orang bukan Arab memeluk Islam, keperluan untuk menghilangkan kesamaran mereka adalah lebih tinggi, khususnya dalam nas-nas mutasyabihat tersebut, sehingga memaksa mereka memberi ta’wilan kepada nas-nas mutasyabihat tersebut, bersesuaian dengan petunjuk dalam ayat tersebut dan bersesuaian dengan kaedah kiasan dalam Bahasa Arab.

Keempat, kita perlulah fahami bahawa, ta’wil-ta’wilan yang diberikan oleh para ulama’ Al-Asya’irah khususnya, masih lagi bersifat zhonni (tidak putus), kerana itu merupakan hasil ijtihad mereka daripada kefahaman dan alat ijtihad mereka dalam masalah tersebut. Jadi, tidak wajib seseorang memahami nas-nas mutasyabihat dengan ta’wilan-ta’wilan mereka, bahkan, bagi ahli ilmu, lebih baik mereka mengambil manhaj tafwidh, dengan menyerahkan bulat-bulat makna tersebut kepada Allah s.w.t. semata-mata. Ini lebih selamat.

Pun begitu, adalah lebih salah lagi, jika seseorang itu, memahami nas-nas mutasyabihat dengan maknanya yang zahir atau dari sudut bahasa, kerana ia merupakan pintu fahaman tasybih dan tajsim.

Kalaupun seseorang tidak mahu menerima ta’wil, tiada masalah jika dia menyerahkan bulat-bulat makna tersebut kepada Allah s.w.t., asalkan dia tidak memahami nas-nas mutasyabihat tersebut dengan maknanya yang zahir atau dari sudut bahasa, dan tidak mengkafirkan, menolak dan mengeluarkan mereka yang menta’wilkan nas-nas tersebut daripada agama Islam. Itu satu jenayah dan kejahilan yang nyata.

Jadi, kesimpulannya, jika ada ungkapan daripada salafus soleh yang menolak ta’wil, ia kembali kepada perbahasan yang dibincangkan sebelum ini. Mereka tidak menolak konsep ta’wil tersebut secara mutlak, kerana mereka (majoriti salafus soleh) sendiri bermanhaj tafwidh, yang mana tafwidh juga salah satu bentuk ta’wil.

Berbeza dengan Ibn Taimiyah yang menolak ta’wil secara mutlak takkala berinteraksi dengan nas-nas mutasyabihat. Inilah satu bahaya yang besar dan satu ruang fitnah yang cukup bahaya untuk tidak ditutup. Sheikh Ibn Taimiyah, dalam menyalahkan ahlul haq dari golongan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah, telah terlepas pandang barangkali, bahawa dialah yang sepatutnya perlu kembali kepada salafus soleh, bukan mereka-reka satu versi salaf yang baru.

Kita dapati secara jelas, setelah kembali merujuk pandangan salafus soleh dan para Al-Asya’irah, bahawa sememangnya mereka berada dalam satu manhaj yang selari, bahkan saling berkaitan antara satu dengan yang lainnya. Cuma yang tinggal hanyalah, golongan syaz (terasing) yang mana, mereka menisbahkan diri mereka kepada salafus soleh, padahal penisbahan mereka terhenti setakat Sheikh Ibn Taimiyah dan versi salafnya semata-mata.

Sekarang, yang tinggal hanyalah ta’asub atau tidak. Seseorang yang ingin terus ta’asub dengan apa yang mereka faham selama ini, walaupun setelah terbit kebenaran dari pihak yang lain, tetap mahu bermati-matian untuk hidup dan mati dalam kefahaman yang telah lama mereka pegang.

Sheikh Ibn Taimiyah sendiri menegaskan bahawa, seseorang perlu mengikut kebenaran, walaupun terpaksa bercanggah dengan gurunya. Demikianlah yang dilakukan oleh Ibn Taimiyah, takkala beliau menyanggahi majoriti ulama’ di zaman beliau, termasuklah guru-guru beliau sendiri, seperti Imam An-Nawawi, dek merasakan kebenaran bercanggah daripada apa yang gurur-guru beliau fahami.

Namun, berdasarkan kajian semula dilakukan, saban dan kerap kali, maka penulis juga terpaksa memilih kebenaran yang nampak (di sisi penulis yang faqir) bercanggah dengan Ibn Taimiyah dan versi salafnya, sebaliknya kebenaran itu bersama dengan majoriti umat Islam dari dulu sehingga kini, iaitu bersama-sama dengan golongan salafus soleh dan Al-Asya’irah serta Al-Maturidiyah yang menjadi penerus aqidah sejahtera salafus soleh. Golongan mutasallif yang memahami apa itu ta’wil, isbat, salafus soleh, Al-Asya’irah dan sebagainya dari kaca mata Sheikh Ibn Taimiyah (taqlid), diseru agar sekurang-kurangnya merujuk lebih ramai lagi ulama’-ulama’ Islam dan karangan-karangan mereka, kerana Sheikh Ibn Taimiyah juga seorang ulama’, seperti ulama’-ulama’ yang lain yang pernah dipersalahkan oleh beliau, yang tidak ma’sum dan tidak terlepas dari kesilapan.

Kesimpulan Bagi Bab Pertama

Apa yang telahpun dibahas sebelum ini, tidak lain tidak bukan ialah untuk menjelaskan persamaan kefahaman antara golongan salafus soleh dan golongan Al-Asya’irah yang didakwa oleh golongan Mutasallifah sebagai saling bercanggah antara keduanya (Al-Asya’irah dengan Salafus soleh).

Segala dakwaan mereka, terhadap Al-Asya’irah dan manhaj ta’wil tidak tepat bahkan sangkaan mereka bahawa merekalah yang mengikut salafus soleh, bukan Al-Asya’irah tidak tepat.

Hakikatnya, golongan Al-Asya’irah bergerak selari dengan manhaj aqidah Salafus soleh, dalam dua pendekatan yang saling berkaitan antara satu dengan yang lain(tafwidh dan ta'wil), khususnya dalam masalah nas-nas mutasyabihat tersebut.

Bukanlah niat di sini untuk menyalahkan sesiapa atau merendahkan martabat sesiapa, kerana di sisi penulis, semua umat Islam adalah mulia dengan Islam mereka, bahkan semulia-mulia manusia adalah yang paling bertakwa. Tetapi, dalam perbahasan ilmiah, demi maslahat umum umat Islam, sebarang kekeliruan dan kesamaran yang boleh mengundang kepada fitnah yang lebih besar, wajar ditutup dan diperjelaskan serta diperbetulkan, agar masyarakat awam tidak terjerumus dalam fitnah apatah lagi berkaitan dengan aqidah.

Perbahasan ilmiah ini tidak sedikitpun mengurangkan keagungan dan pengiktiran ilmu ulama’ yang dipersalahkan (oleh sebahagian besar ulama’ Islam yang lain), terutamanya berkaitan dengan Sheikh Ibn Taimiyah. Benarlah kata Dr. Al-Qaradhawi, Dr. Al-Buti dan guru kami Dr. Umar Abdullah Kamil, bahawa kritikan terhadap Ibn Taimiyah khususnya dalam masalah ini, bukanlah bertujuan untuk merendahkan martabat beliau yang sememangnya tinggi, dan menafikan pelbagai jasa beliau dari sudut yang lain, namun sekadar penjelasan terhadap kesalahan-kesalahan beliau dalam memahami sesuatu, agar kesalah fahaman tersebut tidak dijadikan pintu bagi ahli bid’ah untuk melakukan bid’ah dalam aqidah, terutamanya dengan mengembangkan fahaman tajsim dan tasybih.

Di samping itu juga, tujuan menjelaskan kesamaran dakwaan percanggahan antara Al-Asya’irah dengan Salafus Soleh, adalah kerana ingin membersihkan golongan yang tidak bersalah, daripada tuduhan yang dilemparkan ke atas mereka, tanpa asas ilmu yang kukuh.

Dalam bab seterusnya, akan dibahaskan pula (dengan izin Allah s.w.t.), berkaitan hakikat golongan ketiga iaitu mutasallifah tersebut, yang terasing daripada kesatuan sawadul Azhom (majoriti umat Islam) khususnya dalam masalah aqidah. Tujuan membetulkan apa yang salah, bukanlah kerana ingin menghina pihak yang dirasakan bersalah, tetapi kerana ingin meninggikan lagi martabat mereka, dengan memberi teguran kepada mereka, agar mereka mampu menjadi lebih baik dan lebih sempurna daripada hal mereka sekarang yang sememangnya sudahpun mulia.

Segala salah silap dalam perbahasan sebelum ini, dan kalau ada, dalam perbahasan yang akan datang, pohon keampunan dipinta. Maafkanlah kesalahan dan kejahilan penulis yang faqir ini. Semoga Allah s.w.t. mengampuni alfaqir penulis dan seluruh umat Islam. Seruan kami, hindarilah ta’asub dan bersikap terbukalah.
oleh
Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Jalil Al-Munazzah 'ani Tasybih wa Tajsim
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
Rujukan-rujukan:
-Al-Qur'an Al-Karim
-Kutub Sitttah (Kitab hadis yang Enam: Sahih Al-Bukhari, Muslim, Sunan Abi Daud, Tirmizi, An-Nasa'i dan Ibn Majah)
-Musnad Imam Ahmad
-Ar-Risalah (karangan Imam As-Syafi'e)
-Al-Ibanah fi Usulid Dianah (dinisbahkan kepada Imam Al-Asy'ari)
-Al-Fiqh Al-Akbar (oleh Imam Abu Hanifah)
-Tafsir At-Tabari (oleh Imam At-Tabari)
-Tafsir Ibn Kathir (oleh Imam Ibn Kathir)
-Tafsir Al-Kabir (oleh Imam Ar-Razi)
-Tafsir Al-Qurtubi (oleh Imam Al-Qurtubi)
-Tafsir As-Sobuni dan Aqidah As-Salaf (karangan Sheikh Ali As-Sobuni)
-Al-Iqtisod fi Al-I'tiqod (karangan Imam Al-Ghazali)
-Iljamul Awam fi Ilmi Kalam (karangan Imam Al-Ghazali)
-Al-Asma' wa As-Sifat (oleh Imam Al-Baihaqi)
-Majalis Ibn Jauzi (oleh Imam Ibn Jauzi)
-Fatawa Ibn Taimiyah (oleh Sheikh Ibn Taimiyah)
-Risalah At-Tadmuriyyah (sebahagian riwayat: Tadammuriyyah) (karangan Sheikh Ibn Taimiyah
-Kitab At-Tauhid (oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab)
-syarah-syarah bagi matan Aqidah At-Tohawiyah karangan beberapa ulama' salafi seperti Bin Baz, Sheikh Uthaimin dan sebagainya.
-Syarah Mukhtasar Aqidah At-Tohawiyah oleh guru kami Sheikh Dr. Umar Abdullah Kamil
-Naq Qowa'id At-Tasybih (karangan Sheikh Dr. Umar Abdullah Kamil)
-Fusulun Fil Aqidah (karangan Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi)
-As-Salafiyyah (karangan Sheikh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Buti)
-Naqd Risalah At-Tadmuriyyah (karangan Sheikh Sa'id Fudah)

No comments: